SOROTAN LITERATUR KAJIAN KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM PELAJAR ORANG KURANG UPAYA (OKU) DI MALAYSIA

  • Azman Ab Rahman
  • Mohamad Anwar Zakaria
  • Muhd. Faiz Abd. Shakor
  • Nurul Shazwani Nordin
  • Nur Ain Syafiqah Rahmat
Keywords: Kurikulum, Pendidikan Islam, OKU

Abstract

Ilmu pendidikan Islam merupakan warisan yang sangat penting kerana sifatnya yang menyeluruh merangkumi semua aspek kehidupan sama ada untuk pelajar normal mahupun OKU. Dasar OKU dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 Malaysia turut menetapkan sasaran terhadap usaha meningkatkan akses OKU kepada pendidikan di semua peringkat, termasuk pendidikan sepanjang hayat. Namun berdasarkan kajian, kurikulum pendidikan Islam yang sedia ada di Malaysia ia lebih memfokuskan kepada pelajar normal sahaja. Kurikulum yang sama juga turut diguna pakai oleh pelajar OKU dalam kalangan buta, pekak, dan bisu. Perkara ini juga memberi kesan dan permasalahan kepada golongan OKU tersebut untuk berdikari dan bergaul bersama masyarakat selepas tamat persekolahan sama ada dalam konteks ibadat, jenayat, munakahat dan muamalat disebabkan tiada pendedahan khusus tentang pendidikan Islam Khas dalam kalangan mereka. Di samping itu, kekurangan guru agama yang mahir berbahasa isyarat dan kesedaran ilmu agama dalam kalangan orang pekak juga menjadi faktor keterbelakangan pelajar-pelajar OKU dalam memahami permasalahan agama. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti serta menganalisis kajian sorotan literatur berkaitan kurikulum pendidikan Islam bagi pelajar OKU di Malaysia. Kajian kualitatif ini akan menggunakan kaedah pemerhatian dan dokumentasi. Hasil kajian ini mendapati bahawa perlunya pembangunan model kurikulum pendidikan Islam bagi pelajar OKU yang meliputi aspek ibadat, muamalat, munakahat dan juga jenayah. Kajian lanjutan perlu dilakukan untuk membangunkan model kurikulum Pendidikan Islam sebagai rujukan dan panduan utama pelajar-pelajar dan guru-guru Pendidikan Islam Khas dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta KPM dalam meningkatkan keberkesanan kurikulum pendidikan Islam Khas seterusnya dapat memperkasakan mutu pendidikan negara.

Published
2020-02-07