SOROTAN LITERATUR KAJIAN MODUL PENGAJIAN MUALAF DI MALAYSIA

  • Azman Ab Rahman
  • Nur Ain Syafiqah Rahmat
  • Muhd. Faiz Abd. Shakor
  • Nurul Shazwani Nordin
  • Mohamad Anwar Zakaria
Keywords: Mualaf, Modul, Pengajian

Abstract

Penyebaran dakwah Islamiah telah memberikan kesan positif terhadap penerimaan agama Islam di mana orang yang bukan beragama Islam bukan sahaja dapat mengenali, memahami serta mengkaji tentang agama Islam bahkan mempengaruhi mereka untuk membuat keputusan bagi memeluk agama Islam. Menurut statistik keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jumlah mualaf yang direkodkan dari tahun 2000 sehingga 2012 adalah seramai 106,747 orang dan ini membuktikan bahawa bilangan mualaf memeluk agama Islam adalah meningkat dari semasa ke semasa. Justeru, keperluan terhadap modul pengajian mualaf yang sistematik dan tersusun mengikut kehendak semasa amat penting untuk dikaji dan dibangunkan bagi meningkatkan kefahaman mereka berkaitan Islam. Oleh itu, objektif kajian ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti kajian sorotan literatur berkenaan modul pengajian mualaf yang digunapakai oleh institusi pengajian mualaf dan Majlis Agama Islam Negeri. Kajian ini juga bertujuan untuk meneliti dan menilai kajian sorotan literatur berkenaan dengan modul pengajian mualaf di Malaysia. Kajian berbentuk kualitatif ini akan menggunakan kaedah pemerhatian dan dokumentasi. Hasil kajian mendapati bahawa sorotan literatur berkaitan modul pengajian mualaf lebih memfokuskan kepada pendidikan kepada golongan mualaf, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta program pengisian kepada golongan mualaf berbanding dengan kandungan modul pengajian. Justeru itu, modul pengajian mualaf menjadi suatu keperluan untuk dibangunkan sesuai dengan perkembangan semasa. Kajian lanjutan perlu dilakukan untuk menyemak semula keberkesanan modul pengajian mualaf yang sedia ada dalam pelbagai aspek. Diharapkan kajian ini dapat menjadi rujukan dan panduan kepada institusi mualaf dan Majlis Agama Islam Negeri dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam terhadap mualaf.

Published
2020-02-07